13 Disember 2011

10 Gangguan Syaitan Ketika Solat


Antara gangguan ketika melakukan solat adalah:

1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratulihram
Saat membaca takbiratul ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah.
Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.
Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa.

2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat
Sahabat Rasulullah, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasulullah menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib.
“Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah kekiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim).

3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan
Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika seorang daripada kalian solat,syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan
Abu Hurairah berkata, “Rasulullah bersabda yangbermaksud: “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan.
Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi danjika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi.
Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya,’Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!’ Sehingga orangitu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).

5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat
Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasulullah ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.
Rasulullah bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.
Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud(thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (HadisRiwayat Bukhari dan Muslim).

6) Melakukan gerakan yang tidak perlu
Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.
“Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah”. Orang itu bertanya, “Apa yang dilakukannya? “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).

7) Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat
Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat kekiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu,selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat”. Rasulullah menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).

8) Menguap dan mengantuk
Rasulullah bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.”(Hadis Riwayat Thabrani).
Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya(menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

9) Bersin berulang kali ketika solat
Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).
Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”

10) Terasa ingin buang angin atau buang air
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (HadisRiwayat Muslim).
Berbahagialah orang Muslim yang selama ini terbebas daripada pelbagai macam gangguan syaitan dalam solat mereka. Semoga kita semua dibebaskan Allah daripada gangguan berkenaan.

~Bagi yang berasakan gangguan itu, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk.

22 November 2011

Kem Remaja Islam (KRIS)






Alhamdulillah Kem Remaja Islam 2011 (KRIS) telah berjalan dengan lancar.
Tarikh: 18 - 20 November 2011
Hari: Jumaat - Ahad
Tempat: KEDA Resort Bendang Man, Sik

Semoga perancangan Kem yang akan datang adalah lebih baik dan terbaik, Nsya'Allah...

Dakwah Bukan Untuk Orang MALAS dan MANJA


Pencerahan bukan untuk orang yang manja.

Tarbiyyah bukan untuk orang yang malas.
Dakwah bukan untuk orang yang takut nak bergerak dan mencabar diri.

Tarbiyyah bukan untuk orang yang cepat bosan, lari, lompat-lompat, sekejap down-sekejap up, cepat terasa.

Tarbiyyah bukan bagi orang yang memilih program untuk dia ikuti yang senang dan mudah join, yang penat, bersusah payah elak. Bukan untuk orang yang mencari tarbiyyah hanya bila terasa diuji oleh tuhan. Kalau tak, batang hidung pun tak nampak.

Bukan bagi yang meletakkan dakwah hanya untuk mencari calon akhawat atau ikhwah sebagai sang isteri dan suami,
-yang join hanya untuk meminta tolong teman-teman pencerahan bila dia dalam kesusahan. Tapi kesenangan dan kelebihan yang dia dapat, tak share pun dengan orang lain.
-yang cepat mengalah,
-yang meletakkan mabit, qiamullail, daurah, dan tathqif dalam diari hanya selepas ditolak dengan semua agenda dan upacara-upacara penting’ yang lain.
-yang hanya pandai cakap (dan menulis), tapi amal kosong
-yang hanya tahu compare jamaah itu dengan jamaah ini, yang boleh mengkritik dan menilai harakah ini dan itu.

Dakwah bukan untuk orang yang ikut liqa’ hanya kerana nak disebut sebagai ahli dalam harakah ini dan itu, jamaah ini dan itu.
Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh diberi tugasan last minute. Dakwah bukanlah untuk orang yang tak nak keluarkan duit, infaq di jalan Allah.

Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh sesekali tidur lewat, terpaksa berjalan jauh.
Dakwah bukan bagi orang yang kalau ada program untuk ikut terlibat, mesti naik motokar besar dan mewah, yang air-cond, dan laju. Yang tak nak naik bas, public transport, dan yang kena berpeluh-peluh.

Tarbiyah bukan untuk orang yang kena contact dan info dia setiap masa tentang perkembangan terkini sedangkan dia kena macam boss, hanya tunggu information.
Pencerahan bukan bagi mereka yang hanya nak berkawan dengan orang berduit dan berharta, yang hidup mewah, dan mengelak berkawan dengan orang susah, miskin, dan pakai comot.

Dakwah bukanlah untuk orang yang setiap masa dan ketika, kerja nak beri alasan ini dan itu. Penat, mengantuk, susah, banyak kerja, keluarga tak bagi keluar.

Tarbiyyah bukanlah segala-galanya. Tapi segala-galanya bermula dengan tarbiyyah.

Tanpa kita, orang yang sering beralasan ini, dakwah akan terus berjalan. Islam akan tetap berjaya. Ummah akan tetap terpelihara.


Cuma tanpa pencerahan, Tanpa tarbiyyah, Tanpa dakwah Belum tentu kita akan berjaya di mahsyar nanti.


Tak mengapa. Teruskan hidup kita seperti biasa. Dakwah tak memerlukan kita. Tiada siapa pun yang rugi tanpa kehadiran kita.
Berbahagialah seadanya.

Saya menghitung diri. Terlalu kerap menuturkan. “saya busy..saya sibuk..saya penat..saya letih..”


Adakah ini petandanya saya terlalu manja?
Ya Allah, tabahkan hamba-Mu. “amanah ini bukan hak milik, tp anugerah dr Nya”


Murabbiku Berpesan... antum jadilah daie yang seperti ini... (gambar dibawah)

.....dan ikhwahku berkata bahawa dakwah ini tiada HENTI!!!! perlu diteruskan dan dilaksanakan...


....Pesanan ini ana ambil dari Seorang Murabbi yang banyak travellnya untuk kita jadikan nasihat bersama dalam mengharungi cabaran dakwah Kita yang semakin membesar dan penuh dugaan dan ujian ini.. moga kita semakin tsabat dan Ikhlas dalam amal Dakwah...

Diambil dari Akh Kalam Kalbu dan diadaptasi dari Ustaz MUNTALAQ

19 Oktober 2011

Ayat Dalam Surah Ini Banyak Mendidik Kita

[1]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[2]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.
[3]
Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah (s.a.w), – merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
[4]
Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib).
[5]
Dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga engkau keluar menemui mereka, tentulah cara yang demikian lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[6]
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
[7]
Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; -
[8]
(Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[9]
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
[10]
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
[11]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
[12]
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
[13]
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
[14]
Orang-orang ” A’raab” berkata: ” Kami telah beriman”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam ‘. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
[15]
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).
[16]
Katakanlah (kepada orang-orang “A’raab” itu wahai Muhammad): “Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang ugama kamu (dengan berkata: ` kami telah beriman ‘)? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.
[17]
Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka): “Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dia lah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya).
[18]
“Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan”.

Tags: Surah Al-Hujurat

17 Oktober 2011

Kewajiban Menjalankan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar


Petikan kitab Bimbingan Mukmin

Tugas menjalankan amar ma’ruf dan nahi mungkar, iaitu menyuruh membuat kebaikan dan melarang dari membuat kejahatan menjadi wajib, ditilik dari beberapa ayat al-Quran al-Karim seperti berikut:

“Wajiblah ada di antara kamu suatu tempat (golongan) yang menyeru (manusia) kepada melakukan kebaikan, menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat yang jahat. Mereka itulah orang yang berjaya (bahagia).” (ali-Imran: 104)

Ayat yang tersebut di atas jelas sekali menunjukkan kewajiban hukum amar ma’ruf dan nahi munkar. Sebab perkataan waltakun yang bermaksud wajiblah ada merupakan suatu perintah, dan zahir sekali perintah itu menunjukkan kewajiban perkara yang disuruh.

Kemudian dalam ayat itu diterangkan pula perkataan berjaya atau bahagia, yang mana pencapaian tingkat itu bergantung dengan melakukan perintah yang wajib tadi. Perhatikanlah firmanNya: Wa Ulaika Humul Muflihuun yang maksudnya: Mereka itulah orang yang berjaya (bahagia).

Ternyata padanya bahawa tugas itu merupakan wajib fardhu Kifayah, bukannya fardhu ‘Ain, yang mana bila sesuatu ummat atau golongan menjalankan perintah atau tugas itu, maka gugurlah kefardhuannya ke atas seumum manusia yang lain.

10 Oktober 2011

Lelaki Yang Ditarik Wanita Masuk ke Dalam Neraka


Di akhirat nanti ada 4 golongan lelaki yg akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yang tidak memberikan hak kepada wanita dan tidak menjaga amanah itu. Mereka ialah:

1. Ayahnya

Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya didunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak2 perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja. Maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya

Apabila sang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul! bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tetapi untuk pandangan kaum lelaki yg bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun seorang yang alim dimana solatnya tidak pernah bertangguh, saumnya tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya bersama-sama ke dalam neraka.

3. Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya dan saudara lelakinya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adiknya dibiar melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

4. Anak-anak lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram disisi Islam. Apabila ibu membuat kemungkaran mengumpat, memfitnah, mengata dan sebagainya, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak dan nantikan tarikan ibunya ke neraka.

Lihatla betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah diakhirat pun tarikannya begitu hebat. Maka kaum lelaki yang bergelar ayah, suami, abang atau anak harus memainkan peranan mereka.

p/s : kekasih sejati tidak akan membiarkan pasangannya dibinasakan oleh api neraka.

Sumber:
http://albakriah.wordpress.com
Imam Muda Nazrul

09 Oktober 2011

Kata-Kata Ustaz Ni'amat Yusoff


1. Gerakan Islam kini ialah untuk membebaskan diri supaya boleh mengamalkan Islam.

2. Janganlah kita memasuki sesuatu gerakan Islam kerana tertarik pada keselesaan yang ada pada gerakan Islam itu. masukilah sesuatu gerakan Islam itu sebagai maajun atau penawar atau ubat. Janganlah kita memasukinya sebagai racun yang berbisa yang akan merosakkan gerakan Islam itu sendiri.

3. Kita memegang jawatan-jawatan dalam sistem sekuler adalah kerana kehendak siasah dan bukan untuk mengecapi ni'amat kesedapan yang dihasilkan oleh jawatan-jawatan.

4.Dakwah kita adalah dakwah kerohanian, maka caranya pun berbentuk kerohanian, maka caranya pun berbentuk kerohanian. Dakwah komunis adalah dakwah kebendaan, maka caranya pun kebendaan.

5. Kejatuan empayar Rum dan Parsi adalah kerana Islam yang ada pada orang-orang Arab itu dan bukan kerana kearaban orang-orang Arab itu.

6. Islam bertanggungjawab untuk meletakkan kembali kemanusiaan kepada manusia. inilah ciri pendidikan Islam.

7. Mu'min tulen dapat hidup dengan keadaan sekelilingnya dengan perasaan yang manis dan dengan pandangan rahmat. Dia dapat menekan dendam nafsu amarah. Dia menyimpan harapan agar orang lain mendapat ni'amat keIslaman.

06 Oktober 2011

ISU PELAKSANAAN HUKUM HUDUD

ULASAN Rangkaian gerakan Islam ABIM-PKPIM-WADAH merakamkan rasa terganggu dan terkilan dengan gejala sikap kurang bertanggungjawab dalam menyikapi isu hudud yang kembali dipolemikkan dan dipolitikkan sebagaimana tercermin dalam kenyataan-kenyataan pelbagai pihak, termasuk yang mengeksploitasikannya dengan motif semata-mata untuk kepentingan politik sempit, juga yang menanggapinya secara dangkal, nakal dan provokatif.

Isu penting dan berimplikasi besar ini seharusnya ditanggapi dan disikapi dengan rasa tanggungjawab keagamaan, amanah keilmuan, dan kesedaran kewarganegaraan sesuai dengan nilai-nilai budaya bangsa yang bertamadun dan beradab.

Bagi kaum Muslimin yang menginsafi hakikat bahawa al-Islam adalah al-din yang harus diterima secara kaffah, utuh dan menyeluruh (aqidah dan syariatnya), pelaksanaan hukum hudud adalah suatu tanggungjawab keagamaan. Justeru,ia adalah bahagian daripada undang-undang jenayah (al-'uqubat) yang menjadi salah satu komponen utama syari`at Islam.

Demikianlah hakikatnya, pelaksanaan hukum hudud harus dilihat sebagai bahagian integral daripada proses pelaksanaan syari`at (tatbiq al-shari`ah) keseluruhannya, meliputi segala bidang cakupannya. Syari`at adalah cara hidup yang lengkap (the complete way of life) yang mengatur segala dimensi kehidupan manusia: hubungannya dengan Tuhan dan hubungannya dengan sesama manusia sebagaimana yang diperincikan dalam pelbagai disiplin ilmu seperti `ibadat, munakahat, mu`amalat dan jinayat.

Dengan demikian konsep pelaksanaan syari`at harus difahami dalam pengertian luas, termasuk dimensi hukum-hakamnya, semangatnya, akhlaknya, dan maqasidnya iaitu objektif pemeliharaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Malang sekali andainya pelaksanaan syari`at direduksikan menjadi hanya sekadar hukum “potong tangan” dan “rejam”.

Dalam menyikapi hukum Ilahi (termasuk hudud) umat Islam tidak mempunyai pilihan selain patuh (sami`na wa ata`na), menepati ikrar raditu bi ‘Llahi Rabban (aku redha dengan Allah sebagai Tuhan) yang berimplikasi kerelaan menerima hukum-hakam-Nya, dan pengakuan bahawa ia adalah hukum yang terbaik dan teradil.

Dalam hal ini akal manusia harus tunduk kepada wahyu, menerima hukum Tuhan seadanya, bukan memandai-mandai memperlekeh dan mempersenda hukum yang telah ditanzilkan oleh Tuhan Ahkam al-hakimin sebagai hukum yang barbaric dan zalim. Manusia mukmin sebijak mana pun seharusnya menerima hakikat bahawa Tuhanlah yang Maha Tahu apa yang membawa kebaikan dan apa yang membawa keburukan (…ya`lamu al-mufsida min al-muslih).

Bagaimana melaksanakannya

Apa yang ditentukan oleh Tuhan, itulah keadilan. Tuhan tidak berkepentingan ketika menentukan sesuatu hukum, tidak seperti manusia yang selalu membuat peraturan-peraturan yang didasari motif memelihara kepentingan diri dan kelompok.

Ternyata penerimaan terhadap syari`at (termasuk hukum hudud) sangat terkait dengan `aqidah atau iman. Justeru, memang syari`at selamanya tegak di atas asas `aqidah. Demikianlah dua serangkai yang tidak dapat dipisahkan, dan kerananya al-Qur’an selalu menyebut kedua-duanya dalam bentuk gandingan: iman dan amal salih (`aqidah dan syari`ah).

Dengan kata lain, tidak ada syari`at tanpa `aqidah. Berasaskan premis tersebut, bagi umat Islam persoalannya bukan lagi perlu atau tidak melaksanakan hudud. Yang menjadi persoalan adalah bagaimana melaksanakannya.

Syari`at Islam adalah bersifat abadi dan universal, dan kerana itu ia sesuai dan relevan sepanjang masa dan di semua tempat, termasuk dalam masyarakat majmuk. Kemajmukan masyarakat tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam menolak hukum hudud.

Kemajmukan adalah fenomena yang tidak asing dalam sejarah pelaksanaan hukum Islam. Sejak zaman Perlembagaan Madinah fenomena kemajmukan sudahpun wujud. Penolakan atas alasan tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan `aqidah kerana ia menyiratkan anggapan kelemahan hukum Allah, yang bererti juga kelemahan Allah. Seolah-olah Tuhan terlepas pandang tentang adanya kaum Muslimin di tengah masyarakat majmuk.

Kemajmukan adalah ciptaan Allah Yang Maha Esa sebagaimana hukum syari`at juga adalah ciptaan Allah Yang Maha Esa. Faham Keesaan Allah berimplikasi bahawa segala ciptaan Allah terjalin dan terpadu dalam kesatuan tauhidik yang harmonis.

Hudud sebagai bahagian daripada syari`at adalah amanah Allah yang harus dilaksanakan dengan bijaksana (berhikmah) dan penuh tanggungjawab demi mencapai objektif keadilan Ilahi. Untuk itu proses pelaksanaan hukum hudud harus mematuhi kaedah-kaedah perubahan yang realistik dan strategik.

Hudud dalam konteks M'sia

Antara realiti yang harus diambil kira termasuklah hakikat bahawa pelaksanaan hudud dalam konteks Malaysia ketika ini diperjuangkan menerusi proses demokrasi, dan dalam kerangka perlembagaan negara. Selain itu ia juga diperjuangkan di tengah masyarakat majmuk, dan di tengah suasana wujudnya masalah al-ummiyyat al-diniyyah atau gejala “buta agama” yang cukup fenomenal.

Mengambil kira realiti tersebut, perjuangan melaksanakan syari`at harus didasarkan kepada fiqh al-awlawiyyat, perubahan yang menepati urutan keutamaan dengan mengenalpasti apa yang harus didahulukan dan apa yang perlu dikemudiankan. Perjuangan melaksanakan syari`at juga harus menepati kaedah dan pendekatan al-tadarruj, beransur-ansur, subtle dan gradual.
Minda umat keseluruhannya harus dipersiapkan untuk sedia menerima perubahan (hidup dalam kawalan syari`at dan hududu ‘Llah). Para penguasa perlu dipersiapkan dengan 'political will', tekad politik yang kental untuk melaksanakan syari`at. Rakyat massa pula harus dipersiapkan dengan ilmu, kefahaman dan kesedaran keagamaan agar siap mendukung pelaksanaan syari`at.

Sesungguhnya suasana yang kondusif adalah keperluan utama menjayakan agenda perubahan. Dengan demikian pelaksanaan syari`at tidak akan berupa suatu pemaksaan ke atas masyarakat yang enggan (reluctant society) kerana jahil dan keliru. Sementara itu mekanisme dan jentera pelaksananya juga harus dipersiapkan dengan tahap profesionalisme, kompetensi dan integriti yang tinggi.

Tahap kemampuan yang sedemikian adalah syarat yang tidak boleh dikompromikan demi menjamin tercapainya objektif keadilan, mendidik serta menginsafkan penjenayah, dan lebih penting daripada itu dapat melindungi mangsa dan masyarakat seluruhnya. Memang demikianlah falsafah hukum dalam Islam, tidak seperti undang-undang rekaan manusia yang terkesan bersimpati kepada penjenayah sehingga mengabaikan tanggungjawab melindungi korban. Akibatnya jenayah berleluasa, sedang masyarakat hidup dalam ketakutan.

Ternyata pelaksanaan hudud sebagai bahagian daripada pelaksanaan syari`at bukan hanya urusan para fuqaha’ dan ahli undang-undang, tetapi urusan kolektif pelbagai pihak: penguasa, ahli politik, pentadbir, pendakwah, pendidik, ilmuwan, cendekiawan dan lain-lain.

Para penguasa harus berusaha menggunakan kuasa mereka sejauh yang dimungkinkan oleh realiti tempat, masa dan kemampuan. Pendakwah dan pendidik harus berjihad membina generasi dan umat Muslim yang komited, berjiwa dan berfikrah Islamiah. Para ilmuwan dan cendekiawan harus berjuang membasmi kejahilan dan kekeliruan masyarakat tentang hakikat syari`at termasuk hukum hudud.

Masyarakat umumnya harus disedarkan bahawa perjuangan mendaulatkan syari`at tidak hanya sebatas melaksanakan hukum jenayah, tetapi mencakupi daerah yang lebih luas, meliputi segala usaha ke arah kehidupan berkualiti (hayatan tayyibah) yang penuh barakah, adil dan sejahtera, bermaruah dan berakhlak mulia.

Tanggapan negatif

Segalanya diperjuangkan secara terpadu, seiring dan sehaluan. Hukuman hudud ke atas pencuri misalnya, harus dilaksanakan seiring dengan perjuangan meningkatkan taraf hidup rakyat dan menegakkan prinsip keadilan sosial, pemerataan kueh negara, dan seterusnya memerangi amalan pembolotan kekayaan negara oleh kaum kroni.

Dengan demikian hukuman hudud ke atas pencuri hanya dilaksanakan setelah mengambil kira konteks sosio-ekonominya. Andainya jenayah mencuri itu berlaku dalam keadaan kecukupan dan taraf hidup yang selayaknya (reasonable), wajarlah pelakunya dihukum hudud. Memang ia tidak layak hidup dalam masyarakat manusia yang beragama dan berbudaya.

Demikianlah hakikatnya, undang-undang jenayah Islam tidak dilaksanakan secara terpisah dari syari`at keseluruhannya. Ia selamanya terkait dan terpadu dengan komponen-komponen syari`at lainnya, termasuk komponen kerohanian seperti iman, taqwa, dan nilai-nilai akhlak mulia lainnya.

Dalam masyarakat pengamal syari`at secara utuh dan terpadu seperti itu tidak akan banyak kes jenayah yang berlaku. Gambaran tentang masyarakat yang penuh dengan potongan-potongan tangan yang berserakan akibat hukum hudud sebenarnya hanya imajinasi jahil dan mengada-ngada.

Keadaan yang mengerikan seperti itu tidak pernah terjadi sepanjang sejarah pelaksanaan hukum hudud pada masa lalu. Dalam kaitan ini terdapat catatan bahawa sepanjang sejarah generasi Islam seratus tahun pertama (dari bi`thah hingga pertengahan era Umawi) hukuman hudud zina hanya dilaksanakan sebanyak enam kali, sementara hukuman hudud ke atas pencuri dilaksanakan hanya empat kali sepanjang tempoh yang sama (seratus tahun).

Perjuangan mendaulatkan syari`at ketika ini terpaksa berhadapan dengan kenyataan bahawa Islam, terutama undang-undang jenayahnya telah lama dimomokkan dengan pelbagai label negatif: kejam, barbaric dan menakutkan. Dalam kaitan inilah pentingnya usaha pemulihan citra Islam sebagai agama yang ramah dan pembawa rahmah.

Islam tidak datang untuk mendera, tetapi untuk menyejahterakan (aslim taslam!). Tanggapan negatif terhadap syari`at di kalangan sebahagian umat Islam dan bukan Islam harus ditangani dengan usaha pencerahan, memberikan kefahaman menerusi pendekatan dialog yang meyakinkan dan penuh hikmah.

Semangat toleransi

Semua pihak, terutama warga bukan Islam seharusnya bersikap terbuka dan objektif dalam memahami dan mempersepsikan Islam. Untuk itu mereka perlu mewaspadai jebakan Islamophobia yang disebarkan oleh dalang-dalang konspirasi global.

Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, semangat toleransi antara agama harus sentiasa dipupuk dengan menyuburkan sikap saling hormat, termasuk mengakui hak umat Islam mengamalkan agamanya (`aqidah dan syari`at Islam), sebagaimana umat Islam menghormati agama lain dan mengakui hak penganut-penganutnya mengamalkan agama masing-masing.

Dalam hal ini warga bukan Islam perlu memahami bahawa hak mengamalkan agama dalam konteks umat Islam adalah meliputi pengamalan hukum-hakam agama (Islam) dalam segala bidang, termasuk bidang hukum jenayah.

Justeru, pelaksanaan hukum hudud di kalangan umat Islam adalah sebahagian daripada hak beragama dan hak mengamalkan agama anutan mereka.

Warga bukan Islam tidak perlu merasa terganggu dengan pelaksanaan hukum tersebut kerana ia tidak melibatkan mereka dan tidak menjejaskan hak mereka untuk beramal dengan ajaran agama anutan mereka sendiri.

Sesuai dengan semangat toleransi antara agama, semua pihak harus menghentikan segala bentuk perlakuan dan pernyataan yang menghina dan mempersenda agama.

Kenyataan-kenyataan sinis dan provokatif yang kadang-kadang diucap atau diungkapkan oleh media atau pemimpin masyarakat jelas tidak membina dan tidak mendidik, juga bertentangan dengan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan bangsa yang beradab dan bertamadun.

Nota: Tulisan sumbangan sekretariat Bersama, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).