12 Januari 2010

ABIM KUTUK PERBUATAN BAKAR GEREJA


PDFPrintE-mail
BurnAngkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab membakar gereja. Bangunan Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur terbakar tengah malam tadi, selepas dibaling dengan bom petrol. Sekurang-kurangnya empat lagi gereja di Lembah Kelang dipercayai turut jadi sasaran dalam tempoh 12 jam lalu, termasuk Gereja Assumption di Petaling Jaya. Mengulas lanjut, Setiausaha Agung ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, ABIM mengutuk perbuatan itu kerana Islam tidak membenarkan sama sekali perbuatan seumpama itu.

"Saya menyeru dan berharap tidak ada tindakan yang agresif berlaku, dan hentilah sebarang niat mengenainya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengenai perhimpunan yang dirancang hari ini di Masjid Kampung Baru, Mohamad Raimi berkata, ia akan diteruskan tetapi sekiranya berlaku sebarang provokasi, ia akan dihentikan serta-merta. ABIM adalah antara beberapa NGO Islam yang merancang untuk mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat hari ini sebagai membantah isu penggunaan nama Allah oleh mingguan Katholik, Herald.

08 Januari 2010

CERAMAH PERDANA MAAL HIJRAH 1431H

Inilah kali pertama ceramah yang diadakan diMasjid Kariah Pulau Kijang, Kuala Nerang dihadiri oleh ramai jemaah. Tuan Hj Zakaria atau lebih dikenali dengan panggilan Pakya nampak gusar kerana bimbang makanan yang disediakan tak cukup. Ceramah malam itu disampaikan oleh Brother Kamarudin Abdullah yang didatangkan khas oleh ABIM Daerah Padang Terap dari Pulau Pinaang. Belia memeluk Islam lebih kurang 18 tahun yang lalu dan merupakan aktivis dakwah khususnya kepada non muslim. Mengasaskan Islamic Propagation Soceity International (IPSI) untuk menyebarkan Islam kepada non muslim di Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang. Sehingga kini IPSI telah berjaya mengislamkan ramai non muslim yang melawat Masjid Kapitan.


Ceramah malam itu agak panas. Penceramah memulakan ceramah dengan menyentuh isu Kalimah Allah yang baru diputuskan oleh mahkamah yang membenarkan penggunaannya kepada penganut Kristian. Isu murtad di kalangan umat Islam cuba dibanteras oleh Ust Kamarudin yang gembira program kali ini dihadiri oleh agak ramai anak muda. Beliau membuat beberapa perbandingan antara Islam dan Kristian yang saya kira amat jelas menunjukkan jauhnya ajaran dan keyakinan Kristain dari kebenaran.

YB Ustaz Nasir Zakaria , ahli Parlimen Padang Terap turut hadir mendengar ceramah kali ini. Terima kasih YB atas sokongan!

Untuk makluman , Tuan Hj Ayub Abdrahman , bekas paderi Katolik akan datang sekali lagi ke Kedah pada 4-6 Februari nanti. Maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak.



03 Januari 2010

BENGKEL PEMBINAAN BLOG DAKWAH ABIM PADANG TERAP 2010


Alhamdulillah! Bertempat di JC Smart Centre, seramai 21 orang belia dari daerah Padang Terap telah berjaya mengikuti program ini pada 1 Januari 2010. Program yang julung kali diadakan ini menjadi satu wasilah yang berkesan untuk menarik golongan remaja mendekati bidang dakwah. Remaja perlu sedar bahawa medan dakwah tidak hanya terbatas kepada ceramah dan kuliah di masjid, bahkan hanya dengan mengadap "laptop" pun mereka mampu berdakwah. Ada ketikanya dakwah yang disampaikan melalui blog tidak hanya sampai kepada umat Islam di Malaysia bahkan seluruh dunia mendapat manfaat. Itulah antara ucapan YDP ABIM negeri Kedah , Ustaz Hafiz Mustafa Lubis dalam ucapan perasmiannya sempena program ini.


Terima kasih tidak terhingga kepada Ustaz Azmy Ibrahim yang sudi berkongsi ilmu dan kemahiran sepanjang beliau mengendalikan program ini. Para peserta tentunya mendapat input yang amat berguna dari ustaz. Ustaz macam ni lah yang kita kehendaki, bukan hanya berceramah di masjid tetapi advance dalam dunia teknologi maklumat.


02 Januari 2010

Kenyataan Media ABIM - Polemik Kalimah Allah: ABIM Kesal Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

      Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah Harold : The Catholic Weekly. Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan ataupun penggunaan seharian, dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau otoriti agama Islam adalah tidak sah.

ABIM menilai keputusan ini tidak bertepatan dengan semangat peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa di kalangan agama-agama lain di negara ini. Ia juga bertentangan dengan larangan penggunaannya yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri kerana ia dikenalpasti bakal mengelirukan akidah dan konsep ketuhanan di kalangan umat Islam, merobek sensitiviti umat Islam selaku majoriti di negara ini serta berpotensi menimbulkan ketidaktenramaan awam sekiranya tidak ditangani secara baik..

Justeru Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memohon campur tangan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menghentikan segera polemik kalimah Allah. Gesaan ini selari dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa serta naungan Raja-Raja Melayu.

ABIM juga menyeru agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak lebih tegas mengikut peruntukan perlembagaan, undang-undang sedia ada dan enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri dan tidak mengeluarkan permit penggunaan tersebut pada masa-masa akan datang. ABIM juga menyeru agar pihak KDN menggunakan segala saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang merobek sensitivit umat Islaam tersebut.

Akhir sekali, ABIM memohon agar semua pihak bertenang dan menghormati keputusan ini dan tidak bertindak secara emosional demi untuk menjaga keharmonian serta kestabilan hubungan di antara kaum di negara ini.

" Menegakkan Kebenaran & Keadilan "

MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia