14 September 2011

KESAN PENGGUGURAN HARAM


ISU pembuangan bayi bukanlah perkara baru. Boleh dikatakan saban hari ada saja akhbar melaporkan mengenai kes sebegitu sehingga bagaikan lumrah dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Lazimnya, wanita yang sanggup membuang bayinya membabitkan kes kehamilan di luar nikah akibat gejala sosial atau kecurangan bagi mengelakkan berita tersebar. Tetapi, ada juga yang mengambil jalan mudah dengan menggugurkan kandungan sebelum perut membesar bagi mengelakkan maruah tercalar.

Pendedahan akhbar mengenai klinik di sekitar ibu kota yang sanggup menjalankan khidmat berkenaan, tidak memeranjatkan kerana khabar angin mengenainya sudah lama tersebar. Malah, ada juga yang mengatakan khidmat menggugurkan kandungan turut dijalankan bidan kampung.

Pakar Perunding Sakit Puan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata pengguguran haram boleh memberi implikasi besar kepada kesihatan individu berkenaan kerana selalunya dilakukan tanpa prosedur perubatan yang ditetapkan atau dikendalikan oleh pihak yang tidak terlatih.

“Pengguguran tidak selamat dibuat tanpa membuat rujukan daripada pakar perubatan yang bertauliah. Ada juga yang melakukan pengguguran haram dengan menggunakan perkhidmatan mereka yang tidak bertauliah antaranya mengikut cara tradisional. Ini memberikan banyak kesan kepada mereka.

“Wanita terbabit berisiko tinggi menghadapi kematian berikutan pendarahan dan jangkitan pada rahim. Mereka juga terdedah kepada kesakitan pada saluran pembiakan sekali gus boleh mengakibatkan kemandulan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Akhbar sebelum ini pernah melaporkan walaupun tiada statistik direkodkan di Malaysia, jumlah kematian akibat pengguguran tidak selamat juga dijangka terus meningkat hasil kehamilan yang tidak diinginkan, manakala kadar pengguguran pula dianggarkan meningkat sebanyak 30 peratus.

Ini tidak mustahil berlaku kerana berdasarkan statistik ditunjukkan pada 10 tahun lalu, jumlah kematian terus meningkat dari 251 dalam setiap 100,000 pada 1995 kepada 266 kematian pada 1996.

Bagaimanapun, Dr Halina berkata, secara purata, pengguguran kandungan di seluruh dunia dianggarkan membabitkan 50 juta kes setiap tahun, dengan sebanyak 30 juta melakukannya secara sah, sementara 20 juta lagi dibuat dengan tidak selamat atau secara haram.

Daripada jumlah pengguguran secara haram itu, 80,000 menghadapi kematian akibat kompilasi yang rumit.

Beliau berkata, seperti kebanyakan negara lain undang-undang negara ini turut mengharamkan pengguguran kerana ia adalah satu jenayah. Malah, mereka yang terbabit dalam kes pengguguran berkenaan boleh didakwa.

Beliau yang juga Ketua Wanita Jemaah Islah Malaysia (JIM) berkata, ada banyak cara boleh dilakukan sama ada mengikut cara moden iaitu perubatan ataupun tradisional. Ada yang melakukan pengguguran dengan cara pembedahan, menggunakan sedutan vakum dan mengorek.

Bagi cara tradisional pula, katanya, pengamal perubatan berkenaan selalu menggunakan herba atau cecair beralkohol. Selain itu, ada yang hanya melakukan urutan. Satu lagi cara yang merbahaya dan tidak bersih ialah dengan memasukkan benda asing ke dalam rahim.

“Selain kehamilan luar nikah, ada pengguguran berlaku atas sebab tertentu yang mana wanita sudah berkahwin, tetapi belum bersedia menimang cahaya mata. Pelbagai alasan dikemukakan untuk melakukan proses itu antaranya sumber kewangan masih tidak mencukupi, mengalami tekanan emosi,” katanya.

Beliau berkata, semua agama di dunia melarang pengguguran tetapi sekiranya ia memudaratkan ibu mengandung, kandungan itu perlu digugurkan.

Sementara itu, Ketua Obstetrik dan Ginekologi di HUKM, Prof Dr Zainul Rashid Mohd Razi, berkata pengguguran memberi kesan besar pada seseorang yang melakukannya. Mereka yang melakukan secara tidak betul boleh menyebabkan jangkitan pada bahagian peranakan.

“Selain itu, ia berpotensi mengalami pendarahan dalam perut yang boleh menyebabkan wanita berkenaan pengsan atau lebih teruk maut. Rahim juga boleh mengalami kecederaan apabila melakukan pengguguran secara tradisional kerana mereka yang tidak bertauliah akan menggunakan benda tajam seperti kayu, lidi atau ranting kayu.

“Pendarahan itu kadangkala tidak dapat dikesan dengan cepat, tetapi mengambil masa panjang. Ada antara mereka tidak sedar mengalami pendarahan berkenaan sehinggalah pengsan,” katanya.

Dr Zainul berkata, pada jangka masa yang lama, sukar bagi wanita berkenaan untuk mengandung lagi kerana proses pengguguran itu juga boleh mengakibatkan usus dan rahim melekat selain saluran ovari tersumbat.

“Sekiranya wanita itu hamil dia mungkin mengalami kehamilan di luar rahim. Bagi yang pernah mengalami kecederaan sebelum ini, rahim boleh pecah secara spontan dan menyebabkan maut.

“Sekiranya tidak, wanita yang pernah melakukan pengguguran boleh mengalami kemandulan. Itu kesan pada diri sendiri, tetapi ia boleh juga memberi kesan pada mental dan emosi selepas mendirikan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata, wanita berkenaan juga boleh masalah psikologi khususnya kemurungan terutama apabila sudah berumur kerana sering terfikir mengenai kandungan yang pernah dibuang itu.

Kesan lain termasuk mengalami senggugut dalam rahim yang mana keadaannya lebih sakit berbanding ketika mengalami proses haid.

FAKTA: Kesan pengguguran haram

Pada diri sendiri:

Jangkitan kuman pada bahagian peranakan.
Mengalami pendarahan dalam perut yang boleh mengakibatkan kematian.
Kecederaan pada rahim.
Sukar untuk mengandung lagi.
Jika mengandung, wanita berkenaan akan mengandung di luar rahim dan apabila beranak rahim boleh pecah secara spontan.
Mandul.
Senggugut dalam rahim.
Masalah psikologi – mental dan emosi.
Kemurungan berikutan teringat akan anak yang pernah dibuang.

Keluarga

Malu.
Psikologi – mental dan emosi.

Masyarakat

Mengikut langkah selepas mendapat tahu ada cara mudah yang boleh menggugurkan kandungan.
Kes pembuangan bayi semakin berleluasa.
Pandangan serong oleh orang sekeliling.


Sumber:
homefamilysite http://homefamilysite.com/blog/kesan-pengguguran-haram/#ixzz1XzDk74IW

Tiada ulasan:

Catat Ulasan