04 Disember 2009

RISALAH KHAS LAILATUL QADAR 1430H

RISALAH KHAS

LAILATUL QADAR RAMADAN 1430H

Bermula malam ke 15 kebanyakan imam masjid di negara kita akan mula membaca surah Al Qadr pada rakaat pertama Solat Tarawih. Adakah Nabi SAW mengajar kita membaca surah ini ketika Tarawih ? Jawapannya tidak, bahkan sebenarnya terpulang kepada imam untuk membaca surah apa pun di dalam solat Tarawih. Sedar atau tidak, imam sedang mengiklankan tawaran yang sangat penting dan besar dalam kehidupan manusia. Malangnya tawaran ini dirasakan tidak begitu besar dan penting oleh kebanyakan manusia, lalu mereka mengabaikannya begitu saja.
Allah swt berfirman , Ertinya : “Tahukah kamu apakah itu malam Qadar? Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan” (Al-Qadr :2-3).
Imam At Tabari menafsirkan ayat ini dengan katanya menghidupkan malam Qadr lebih baik ganjarannya daripada seorang lelaki Bani Israel yang telah beribadat dan berjuang pada jalan Allah selama seribu bulan (Ibn Kathir /Jld 4).
Dengan kata lain imam sedang mempromosi ganjaran dan kelebihan orang-orang yang menghidupkan malam Al Qadr akan mendapat ganjaran yang disebutkan. Bayangkan setiap malam bermula malam yang ke 15 imam mempromosi 10 kali ganjaran yang ditawarkan oleh Allah swt kepada umat manusia kelebihan beribadat pada malam Al Qadr. Tidakkah kita rasaterpanggil untuk mendapatkan ganjaran yang Allah swt tawarkan? Atau kita masih tidur lena di rumah seolah-olah Lailatul Qadar itu hanyalah khayalan semata-mata? Adakah tahun-tahun yang telah berlalu kita termasuk di kalangan orang yang mendapat ganjaran Lailatul Qadar?
BAGAIMANA MENDAPATKAN LAILATUL QADAR?

Berpandukan hadis-hadis , Lailatul Qadar berlaku pada malam bulan Ramadan setiap tahun. Antaranya

التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
Ertinya : ” Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis lain memperincikan bahawa ianya berlaku pada malam-malam ganjil iaitu malam 21 @ 23 @ 25 @ 27 @ 29.Inilah pendapat yang terkuat. Sebagian hadis menyatakan ianya berlaku pada 7 malam terakhir Ramadan setiap tahun.

أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر
Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir” ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)

Sebahagian ulama berpendapat Lailatul Qadar berlaku secara tetap tiap-tiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadan.
Sebagai kesimpulannya bagi mengelakkan terlepas ganjaran Lailatul Qadar beribadatlah pada 10 malam terakhir semuanya, maka sudah tentu seseorang tidak akan terlepas ganjaran besar ini.


APA PERLU DIBUAT UNTUK MENDAPATKAN GANJARAN BESAR INI?

Adakah dengan menonton siaran langsung qiam Ramadan di Masjidil haram, atau menunggu tanda seperti nampak pokok sujud, air kolah melimpah atau…?
Nabi Muhammad saw telah memberi panduan kepada umatnya dan kepada mereka yang merasakan amalan yang mereka lakukan selama ini masih sedikit dan mereka perlu mendapatkan pahala 1000 bulan atau 83 tahun 4 bulan beribadat.

انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : “Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)” ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره
Ertinya : ” Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)” ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ya , iktikaf di masjid dan beribadat bersungguh-sungguh. Iktikaf adalah amalan yang dilakukan oleh nabi kita apabila masuk 10 malam terakhir Ramadan. Bukan nabi sahaja yang beriktikaf bahkan para sahabat dan isteri-isterinya membuat khemah di dalam masjid dan melakukan ibadat sehingga fajar pada setiap malam terakhir Ramadan.
Malangnya kebanyakkan masjid kosong semasa tawaran hebat yang dijanjikan Allah swt. Orang perempuan sibuk menyiapkan juadah hari raya dengan hujjah ini pun ibadat juga. Orang lelaki pula sibuk membawa anak-anak membeli baju raya. Risalah ini mengajak semua umat Islam berilah diri anda sekali peluang untuk mendapat ganjaran Lailatul Qadar. Takkan tiap-tiap tahun umur kita hanya untuk anak-anak dan untuk tetamu yang berkunjung semasa hari raya. Tahun ini kalau anda berjaya mendapat Lailatul Qadar dengan berpandukan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan sahabat alangkah beruntungnya kehidupan akhirat anda. Masakan tidak, anda telah diberi ganjaran beribadat selama 1000 bulan. Tidak mungkin anda mampu melakukan ibadat sebanyak itu. Umur anda pun mungkin tidak sepanjang itu. Berilah peluang sekali pun jadilah , tahun ini.
Alangkah baiknya jika pihak masjid menganjurkan program Qiamullail dan menggesa ahli kariah beriktikaf pada 10 malam terakhir. Semua pahala iktikaf dan qiam sudah tentu dalam kocek ahli jawatankuasa yang mencadang dan bertungkus lumus menjayakan program ini. Sediakan sahur jika kewangan masjid mengizinkan. Tak guna simpan berpuluh ribu di dalam akaun masjid kerana jemaah yang menyumbang berharap sangat wang sedekah mereka dimanfaatkan untuk program seperti ini.
Sabda Nabi Barangsiapa yang memberi contoh kepada perkara kebaikan maka baginya pahala amalannya dan pahala orang yang melakukan amalan baik tersebut tidak dikurangi sedikit pun pahala hinggalah ke hari kiamat.

فعن أنس بن مالك رضي الله عنه قال : دخل رمضان فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إن هذا الشهر قد حضركم وفيه ليلة خير من ألف شهر من حرمها فقد حرم الخير كله ولا يحرم خيرها إلا محروم

 رواه ابن ماجه

Daripada Anas bin Malik katanya Apabila masuk bulan Ramadan , Rasulullah SAW bersabda Telah datang kepada kamu bulan ini, padanya ada satu malam yang terlebih baik dari seribu bulan barangsiapa yang diharamkan daripada mendapatkannya maka ia diharamkan dari mendapat semua kebaikan , tiadalah terhalang daripada mendapatkannya kecuali orang yang diharamkan dari mendapat kebaikan.

وعن عائشة رضي الله عنها : أن رسول الله صلى الله عليه وسلم من قام رليلة القدر إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه.

متفق عليه 


Daripada Aisyah RA Rasulullah SAW bersabda Barangsiapa yang menghidupkan Lailatul Qadar dengan sepenuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Kedah Darulaman 1430H

Tiada ulasan:

Catat Ulasan